Selasa, 30 November 2010

TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 10




TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 10

Kepelbagaian Teknik Penghafazan

Berbanding dengan tips yang telah dibincangkan dalam tajuk-tajuk sebelum ini yang semuanya berasaskan nas-nas daripada al-Quraan, hadits dan ‘aathar, tips kali ini adalah berdasarkan contoh amalan pelajar-pelajar tahfiz. Perbincangan kali ini bukanlah untuk menyarankan apakah tip yang terbaik, sebaliknya sekadar untuk membuka minda kita bahawa perlunya kita membuat ‘exploration’ bagi mencari kaedah terbaik dan bersesuaian dengan kekuatan dan kelemahan diri kita. Di samping itu juga untuk memikirkan jenis teknik yang paling bersesuaian dengan “nature” kehidupan seharian kita. Namun, sebelum membincangkan teknik-teknik berkenaan elok juga diambil pengajaran daripada yang disarankan oleh Ibn ‘Abbas bila orang bertanya kepadanya bagaimana dia menghafaz. Beliau menjawab “aku baca, aku fahami dan aku amalkan”.

Jika diteliti jaguh-jaguh sukan beraksi, kita akan dapati mereka mempunyai banyak set teknik bagi memenangi sesuatu pertandingan. Ambil sahaja satu contoh kecil dalam Perlumbaan kereta F1 misalnya. Lihat kepelbagaian teknik pemandu ketika memasuki ‘pit-stop’. Begitu juga banyaknya teknik ‘lipat’ dalam sepak takraw. Malahan tentunya ramai yang arif tentang banyak jenis sepakan penalti dalam bola sepak. Cuba kita beberapa contoh yang diamalkan oleh sesetengah orang orang untuk menghafaz, seperti di bawah:

1. HAFAZAN TALAQQY

Salah seorang daripada guru saya bernama Isa berasal dari Sudan. Beliau mempunyai sanad penghafazan sehingga ke RasulAllah SAW yang yang tidak terputus hubungan talian sanadnya yang diwarisi dalam keluarganya dari satu generasi ke satu generasi. Teknik yang diajarkan ialah semasa dia membaca al-Quraan murid-muridnya mesti menulis ayat-ayat yang ditalaqqiykan. Setelah habis ditulis, mereka dikehendaki membacanya dan didengari oleh beliau untuk diperiksa. Sekiranya semua telah betul, murid-muridnya dikehendaki menghafaz seperti yang ditulis itu sahaja, bukan daripada mashaf. Menurut beliau, itulah teknik asal penghafazan al-Quraan yang diajari oleh Jibril. Oleh sebab RasulAllah tidak tahu menulis dan membaca, Baginda meminta orang lain untuk menulisnya (sila rujuk seerah).

2. HAFAZAN UNTUK SOLAT SUNAT

Beberapa hadis ada menyatakan bahawa betapa besarnya pahala membaca al-Quraan ketika bersolat. Seorang lagi guru saya yang bernama Dr. Yusuf dari Oman mengajarkan teknik menghafaz untuk solat sunat. Menggunakan kaedah ini, kita hanya perlu menghafaz lima ayat baru setiap hari yang setiap satu ayat akan dibaca dalam setiap solat sunat rawatib. Sedikit demi sedikit cantumkan ayat-ayat berkenaan sehingga lengkap menjadi satu rubu’ atau satu surah.

3. BED-TIME STORY

Mungkin banyak orang yang belum pernah mendengar bahawa membaca al-Quraan sama ada melalui lisan atau dalam hati merupakan ubat tidur yang mujarab bagi mereka yang menghadapi masalah untuk memulakan tidur. Ada pelajar-pelajar tahfiz mengambil kesempatan ini dengan ‘pura-pura’ menghafaz untuk memudahkan tidur. Caranya mudah, pilih sahaja mana-mana ayat, kemudian baca, pejamkan mata dan cuba ingat ayat-ayat tersebut dalam hati. Insya Allah, dalam beberapa minit akan tertidur. Kalau terjaga semula, ulangi dan sambung… sehingga terlelap.

4. HAFAZAN 1-2, 1-2.

Jenis ini merupakan teknik hafazan serius. Sama ada kita sedari atau tidak, menghafaz ayat-ayat tertentu dalam al-Quraan berbeza dalam konteks menghafaz keseluruhan al-Quraan. Prinsip yang mudah difahami ialah setiap ayat al-Quraan mempunyai kaitan atau ikatan dengan ayat sebelum dan selepasnya. Hafazan 1-2, 1-2 memerlukan kita menghafaz dua ayat pada setiap masa. Peringkat pertama dimulai dengan ayat no.1 dan no.2, kemudian no.2 dan no.3, kemudian no.3 dan no.4, sehinggalah tamat satu surah atau rubu’. Setelah tamat proses Peringkat pertama, masuki peringkat kedua dengan cuba menghafaz keseluruhan surah atau rubu’ berkenaan. Mungkin kaedah ini sesuai diamalkan bersama-sama kaedah No.2 di atas.

5. HAFAZAN 1-2-3

Sama seperti teknik di atas, teknik ini juga merupakan teknik hafazan serius. Caranya ialah dengan membaca tiga ayat serentak. Contohnya jika kita menghafaz ayat-ayat no. 1,2 dan 3, ketika kita menghafaz ayat no.1 kita perlu ‘membaca’ ayat no.2. Setelah ayat no.1 telah berjaya dihafaz, ulangi ayat tersebut tanpa melihat mashaf, kemudian cuba hafaz ayat no.2 (yang kita telah ‘baca’ ketika manghafaz ayat no.1), diikuti dengan ‘membaca’ ayat no.3. Begitulah seterusnya. Maksudnya, pembacaan ayat pertama merupakan proses ‘pengukuhan’ apa yang dihafaz. Ayat kedua adalah percubaan menghafaz. Ayat ketiga hanya dibaca sahaja. Ayat ketiga ini bukanlah setakat dibaca sahaja, tetapi membaca sehingga kita yakin sudah boleh dihafaz. Ini juga bermaksud bahawa kita hanya berhenti mengulangi ‘pengukuhan’ hafazan ayat pertama setelah ayat ketiga sudah di‘register’ dalam ingatan ikatan kita.

6. HAFAZAN DERAAN

Teknik ini nampak lebih serius. Saya pernah bertemu dengan salah seorang daripada imam dari England yang bernama ‘Uzair, amat baik hafazannya dalam semua sudut. Memerhatikan cara beliau membuat semakan, bolehlah diklasifikasikan sebagai ‘teknik deraan’. Setiap kali ‘terbuat’ silap atau ‘tersangkut’ dia akan kembali semula ke awal rubu’. Walaupun cara yang dipraktikkan oleh Imam ‘Uzair ini kelihatan seperti satu bentuk deraan, sebenarnya ada satu prinsip yang dipraktikkan. Prinsipnya ialah apabila kita memulakan bacaan untuk satu-satu rubu’, seawal ayat pertama lagi memori (otak) kita sudah sepatutnya mengumpulkan maklumat mengenai ayat-ayat di hadapan. Dengan kata lain, sekiranya kita mengimami solat dan mahu membaca satu surah yang mengandungi 50 ayat, pada ayat pertama lagi kita telah mempunyai ‘map’ untuk perjalanan seterusnya dah telahpun tahu apakah bacaan pada ayat ke-50 nanti.

7. HAFAZAN NON-COMMITTAL

Teknik ini lebih senang. Baca sahaja mana-mana surah atau rubu’ setiap hari tanpa terikat untuk menghafaz. Setelah beberapa hari, memori kita insya Allah akan boleh merakam ayat-ayat dengan mudah. Apabila kita telah menyedari ada ayat yang mula masuk dalam ingatan kita, cuba kembangkan ingatan pada ayat-ayat sebelum dan selepasnya. Bagaimana kalau terlupa?. Just forget it!. Insya Allah akan datang kembali. Maha Suci Allah yang menurunkan al-Quraan sebagai satu mukjizat yang di luar pemikiran manusia untuk memahaminya. Biasanya selepas 40-60 hari, keseluruhan satu rubu’ boleh dihafaz melalui cara sebegini.

8. HAFAZAN MENGUDUR (REVERSE)

Sama juga dengan kaedah di atas. Namun, kaedah ini merupakan pemakaian prinsip ‘pembinaan’ map seperti yang dinyatakan dalam kaedah ‘deraan’ tadi. Jika dibandingkan, kaedah ini lebih teratur berbanding hafazan non-committal di atas. Setiap hari cuba baca keseluruhan satu rubu’ atau surah. Pada akhir sesi, hafazkan ayat yang terakhir sahaja. Jadi, jika jumlah keseluruhan ayat adalah 60, mulakan hafazan dengan ayat no.60, kemudian ayat 59 dan begitulah seterusnya. Untuk memberikan impak yang lebih baik, hafazkan ayat-ayat terakhir tersebut dengan menggunakan teknik 1-2, 1-2 seperti yang dibincangkan di atas. Oleh sebab kita membaca rubu’ tersebut setiap hari, insya Allah sebelum sampai ayat ke-30, keseluruhan rubu’ telah berjaya dihafaz.

9. TEKNIK ‘GANJIL’

Dikatakan bahawa terdapat amalan sesetengah orang Arab yang menghafaz dengan memulakan menulis ayat-ayat yang hendak dihafaz. Setelah ayat tersebut berjaya dihafaz, pelajar-pelajar berkenaan membakar nota mereka, asapnya disedut dan abunya dilarutkan ke dalam air dan diminum. Menurut mereka ada hadith sahih (saya sendiri tidak ketemu matan dan riwayatnya – waAllahu a’lam) yang membawa maksud bahawa tulisan al-Quraan adalah penawar pelbagai penyakit dan pendiding daripada rasukan syaitan.

10 HAFAZAN PAST TIME

Mengikut cerita orang, orang-orang bekerja sebagai ‘jaga’ dan penjaga gate keretapi di Mesir semuanya hafiz, waAllah a’lam.

KESIMPULANNYA

1. Terdapat banyak teknik hafazan yang boleh dicuba untuk dipraktikan mengikut kemampuan ingatan kita dan yang bersesuaian dengan corak kehidupan seharian kita.

2. Penghafazan yang baik (sila lihat teknik no.1 dan 2), adalah melibatkan banyak anggota badan – mata, telinga, lidah dan tangan.

3. Teknik hafazan yang baik tidak semestinya yang membebankan, sebaliknya bersesuaian.

4. Jangan lupa, sama ada kita berjaya atau tidak bukanlah suatu perkara yang paling penting kerana membaca al-Quraan merupakan ibadah khusus yang pahalanya dikira daripada setiap huruf yang dibaca.

Khamis, 25 November 2010

Program Masa Cuti Ktadfa

Program Masa Cuti 2010

Kelas Ktadfa akan menganjur program sempena cuti sekolah bulan 12 ini.

  • Pengisian:Memantapkan Para Pelajar dengan Membaca Al-Quran Bertajwid, Solat Sunat dhuha dan Solat Sunat hajat di samping doa -doa harian.
  • Tarikh :22.11.2010 hingga 17.12.2010
  • Masa: 8.00 pagi hingga 10.00 pagi
  • Bayaran :RM15.00 untuk pelajar ktadfa dan RM30.00 untuk pelajar luar.

Ahad, 21 November 2010

Majlis Iktifal KTADFA Taman Jaya 4 2010


Majlis Iktifal KTADFA telah diadakan pada 14.11.2010 merupakan program tahunan yang diadakan setiap hujung tahun pengajian.Tujuannya adalah untuk memberi ganjaran kepada para pelajar setelah prestasi mereka dinilai di dalam ujian akhir tahun.Di samping itu juga majlis ini diadakan untuk penyerahan sijil tamat pengajian kepada para pelajar yang telah tamat pengajian dan akan memasuki tahun 6.Majlis ini telah berjalan dengan lancar dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Ustaz Shattar iaitu Imam 2 dari Masjid Al Wosto Tanjong Besar Paya Pulai.

Selasa, 9 November 2010

TIPS MENGHAFAZ AL-QURAN SIRI 9




TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 9

Menguruskan Lupa

Bagaimana mengatasi masalah lupa?. Inilah FAQ (frequently asked question). Dalam konteks penghafazan al-Quran mempunyai berbagai-bagai dimensi dan berpunca daripada pelbagai sebab. Dengan perkataan lain, jenis lain kategori lupa perlu diatasi dengan kaedah lain. Pada sesi ini, kita akan membincangkan satu sahaja punca lupa dan cara penyelesaiannya. Isu ‘kelupaan’ Saidina ‘Ali dan Ibn ‘Abbas seperti yang telah dibincangkan sebelum ini adalah berkaitan dengan isu kali ini iaitu ‘lupa adalah satu proses’. Bahkan, lupa adalah sifat semula jadi manusia. Seperti yang dinyatakan dalam ayat 115 surah Taha, bahawa ketika Adam A.S. dijadikan, Allah membuat satu perjanjian dengannya, lantas dia ‘lupa’… Kalau seorang Nabi boleh lupa, apatah lagi kita. Selain daripada itu, walau apapun kaedah terbaik yang kita ambil untuk menghafaz, seharusnya kita memahami bahawa, sebagai sahabat besar, kaedah yang digunakan oleh Saidina Ali dan Ibn Abbas adalah lebih baik daripada yang digunakan oleh kebanyakan orang. Andaian ini adalah berasaskan kepada beberapa hadis sahih yang mengisyaratkan tingginya ilmu al-Quran yang ada pada kedua-dua mereka.

KONSEP

Dalam usaha mengejar matlamat menghafaz al-Quran, kita juga harus sentiasa ingat pesanan Allah dalam ayat 37 surah al-Anbiyaa’ bahawa manusia itu dijadikan oleh-Nya bersifat gopoh. Salah satu daripada sifat gopoh ialah mahu melihat hasil usaha dalam tempoh yang singkat. Sekiranya kita boleh menerima hakikat bahawa ‘lupa’ dan ‘gopoh’ itu merupakan sifat semula jadi kita, isu kelupaan hafazan insya Allah boleh ditangani. Begitu juga hakikat hidup ini, tiada urusan besar atau kecil yang boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa perancangan yang teliti dan pengurusan yang berkesan. Proses penghafazan al-Quran tidaklah terkecuali. Untuk itu, mungkin satu gurauan yang boleh dimanfaatkan ialah ‘if you cannot beat them, join them’. Jadi, satu daripada kaedah untuk mengatasi lupa ialah dengan menerima hakikat kejadian semula jadi kita dan menguruskan proses lupa semula jadi yang sedia ada (by default) dalam diri kita itu dengan teratur.

Persoalannya, kenapa perlu diuruskan lupa? Pertama, untuk menguji kekentalan dan ketepatan ingatan kita. Kedua, memberikan ‘momentum’ agar hafazan kita berjalan berdasarkan keupayaan fizikal ‘menanggung’ ayat-ayat yang dihafaz. Hal ini bermakna sekiranya kita telah menghafaz melebihi keupayaan otak kita untuk menanggungnya, kita perlu membenarkan supaya proses pelupaan ‘semula jadi’ berlaku. Dengan itu juga kita dapat mengelakkan tekanan ke atas mental. Ketiga, untuk meningkatkan ketepatan hafazan dan mengurangkan risiko kekeliruan (mix up) terutamanya apabila menghafaz surah-surah ‘generic’. Sekiranya kita membenarkan proses kelupaan secara semula jadi berlaku, hafazan-hafazan yang silap dan keliru akan terpadam sedikit demi sedikit.

PRINSIP

Untuk ‘menguruskan lupa’ beberapa prinsip yang perlu difahami, ialah:

(a) otak manusia bukan seperti mesin fotostat. Oleh yang demikian, kadar kekentalan pengingatan (retention) seseorang manusia biasa perlu dibina. Prosesnya termasuklah ujian yang berulang-ulang;
(b) mutu kekentalan ingatan boleh diukur;
(c) kekentalan ingatan boleh digredkan secara kasar kepada (i) segera (flash), (ii) sementara, dan (iii) jangka panjang;
(d) proses pengentalan ingatan memerlukan perancangan yang teratur;
(e) otak manusia memerlukan sokongan luar untuk mengukuhkan ingatan. Antaranya, pengalaman-pengalaman manis dan peristiwa-peristiwa yang tidak boleh dilupakan; dan
(f) ‘masa’ adalah penghakis utama ingatan manusia.STANDARD

Berkaitan prinsip-prinsip di atas, setelah melalui ‘ujian cabaran masa’, setiap surah yang dihafaz perlu melalui sekurang-kurangnya tiga tahap ingatan:

(a) tahap 1 : registration atau hafazan ‘flash’,
(b) tahap 2 : hafazan sementara; dan
(c) tahap 3 : hafazan jangka panjang.



HAFAZAN TAHAP REGISTRATION

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah kejayaan menghafaz dengan betul kali pertama bahagian/rubu’ yang dipilih. Kemudian, selepas satu tempoh yang pendek, biasanya dalam sehari dua sahaja, banyak bahagiannya yang hilang. Sebagai peringatan, bahagian-bahagian yang dihafaz pada peringkat ini tidak digalakkan dibaca ketika mengimami solat.

HAFAZAN TAHAP HAFAZAN SEMENTARA

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah bahagian yang dihafaz boleh dibaca semula selepas ‘berkerja keras’ untuk mengingatinya semula. Sebagai peringatan, tahap ingatan sementara tidak sama antara individu dengan individu yang lain. Ada yang hanya mampu bertahan hanya sehari dan ada yang mampu bertahan sehingga dua minggu.

HAFAZAN TAHAP HAFAZAN JANGKA PANJANG

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah tiada masalah besar untuk membaca semula bahagian yang telah dihafaz.
Peringatan;
Pertama, proses menyemak atau menghafaz semula perlu dilakukan dengan segera kerana walaupun ada antara kita mempunyai kaedah hafazan yang terbaik, kita perlu menerima hakikat bahawa otak manusia mempunyai ‘had masa’ untuk menyimpan (retention) rekod-rekod. Seperti yang dinyatakan di atas, kadar kekuatan retention tidak sama antara individu dengan individu yang lain.
Kedua, kita harus menerima hakikat bahawa tidak semua manusia mempunyai hafazan yang kekal. Namun begitu, sekiranya kita telah mampu menyediakan jadual semakan semula yang membolehkan kita khatam dalam tempoh kurang daripada 40 hari dan ada bahagian yang ‘tidak terpadam’, bahagian tersebut boleh dianggap sebagai telah bertaraf ingatan jangka panjang.

PELAKSANAAN

Untuk merancang menghafaz sambil menguruskan lupa, langkah-langkah berikut perlu diambil:

(a) Membuat Perancangan Jangk Panjang
Langkah pertama ialah menetapkan sasaran tempoh hafazan. Untuk memudahkan proses, tetapkan tempoh antara 5 – 10 tahun;
(b) Membuat Perancangan Jangka Pendek
Mula-mula bahagikan mashaf kepada saiz yang boleh diurus (manageable size). Contohnya dibahagikan seluruh mashaf kepada enam segmen, yang setiap segmen mengandungi 5 juzuk. Kemudian, sediakan sasaran tempoh penghafazan segmen yang dipilih. Oleh itu jika sasaran jangka panjang dianggarkan 10 tahun, bermakna:
= satu bulan perlu menghafaz 2 rubu’ (1 rubu’ bersamaan 1/8 juzuk - lihat nota di bawah di bahagian akhir artikel ini),
= satu juzuk dihafaz dalam tempoh 4 bulan,
= satu tahun dihafaz 3 juzuk.
Sebagai peringatan, kiraan ini hanyalah anggaran kasar sahaja. Pengaggaran perlu dibuat supaya kita mempunyai idea mengenai perancangan penghafazan serta boleh menjangka beban tugas penghafazan. Tanpa sasaran dan objektif yang boleh diukur, pelan perancangan yang berkesan tidak boleh disediakan. Sama ada sasaran tersebut tercapai atau tidak, itu persoalan lain.
(c) Jalankan Proses Penghafazan dan Pengurusan Lupa Secara Sistematik
Mula-mula sediakan senarai bahagian-bahagian yang hendak dihafaz. Setiap bahagian hafazan hendaklah dibahagikan kepada tiga peringkat hafazan (Sila lihat juga nota di bahagian akhir artikel ini). Kemudian, rekodkan dengan teratur proses penghafazan dengan mengambil kira standard kualiti hafazan yang disarankan di atas.

Sallehuddin Ishak, Glasgow
NOTA - Contoh penggunaan Buku Log Hafazan dan Pengurusan Lupa
Proses penghafazan perlu mempunyai rekod yang teratur. Sistem ini bertujuan untuk mengukur pencapaian hakiki tahap hafazan kita. Buku log untuk merekodkan tahap penghafazan boleh diperoleh dari bahagian muaturun laman ALKIS ini. Buku tersebut disusun mengikut pembahagian al-Quraan mengikut mashaf Madinah (rujuk Tips #5). Mengikut pembahagian ini, setiap juzuk dibahagikan kepada 8 rubu’ (quarter/bahagian). Oleh itu, keseluruhan mashaf dibahagikan kepada 240 rubu’. Hal ini bermaksud jika setiap rubu’ tidak dibahagikan kepada saiz yang lebih kecil, untuk menghafaz keseluruhan al-Quraan, kita perlu menghafaz 240 quarter/bahagian. Buku tersebut telahpun membahagikan seluruh mashaf menjadi 6 segmen.

Sekiranya buku log tersebut hendak digunakan, eloklah urutan penghafazan ini diikuti.

(1) Hafaz setiap rubu’ dengan sempurna sebelum beralih ke rubu’ yang baru. Sebaik-baiknya buat semakan dengan orang lain sebelum beralih ke rubu’ yang baru (katakan kita memulakan hafazan pada rubu’ no.201 – surah al-Ahqaf);
(2) Sebaik-baik sahaja kita berpuas hati dengan hafazan ‘kali partama’ dan mencapai standard hafazan ‘flash’, buat catatan tarikh dan peristiwa atau pengalaman penting yang kita rasa berkaitan dengan hidup kita pada ruang nota. Jenis atau bentuknya peristiwa tersebut, terpulanglah kepada individu. Ingatan atau kenangan peristiwa/pengalaman penting tersebut akan membantu kita dalam mengingati kembali dalam satu tempoh panjang yang akan datang (Sebagai contoh, sebahagian catatan penulis ada ditujukkan di sini);
(3) Selepas itu, abaikan rubu’ yang baru dihafaz itu (rubu’ 201) sehingga sempurna hafazan bahagian yang di hadapan (rubu’ 202). Di sini, kita telah mula menguruskan lupa dan dalam masa yang sama mula menguji kekuatan hafazan kita untuk berhadapan dengan ‘masa’.
(4) Selepas bahagian baru (rubu’ 202) selesai, cuba ingat kembali hafazan terdahulu (rubu’ 201). Jika telah lupa, ulangi proses hafazan. Pada peringkat ini, jangan menghafaz ‘bersungguh-sungguh’ – cuma baca sekali atau dua kali sahaja sehari bahagian tersebut. Dalam setiap sesi ‘pembaikian’, elakkan daripada memperbaiki banyak ayat, tetapi tumpukan kepada satu atau dua ayat sahaja. Kadang-kadang, dalam setiap rubu’ hanya sebahagian kecil sahaja ayat yang ‘bermasalah’ untuk kita menghafaznya, tetapi kesannya menyeluruh. Kemudian semak kembali keesokan harinya. Teruskan sehingga tiada lagi masalah untuk membaca semula. Selepas itu, cuba buat kiraan kasar dan rekodkan tempoh yang diambil oleh peringkat ini. Kemudian bandingkan dengan tempoh hafazan kali pertama. Perlu juga diambil ingatan bahawa hafazan peringkat ini boleh mencecah tempoh 40-60 hari, iaitu lebih panjang daripada tempoh hafazan pertama. Sedikit-demi sedikit, jurang tempoh akan mengecil. Oleh itu, lakukan pengulangan selepas pengabaian beberapa ketika sehingga tempoh memperbaiki menjadi hanya ‘satu hari’. Jika tahap ini telah tercapai, rekodkan pencapainnya ke tahap ‘hafazan sementara’. Tujuan proses ini ialah untuk memastikan hafazan kita dilakukan betul-betul mengikut tahap keupayaan otak kita. Maksudnya, hafazan yang dibuat di luar keupayaan otak untuk menanggungnya akan terpadam sendiri.
(5) Dalam masa yang sama (iaitu selepas rubu’ 202 selesai dihafaz), teruskan hafazan ke rubu’ berikutnya (rubu’ 203) tanpa menunggu bahagian pertama tadi (rubu’ 201) sempurna diperbaiki. Ringkasnya, pada peringkat ini, kita itu mempunyai dua tugasan setiap hari iaitu (a) menghafaz bahagian baru dan (b) membetulkan yang lama.
(6) Begitulah seterusnya sehinga semua 40 rubu’ pada segmen ini berjaya didaftarkan sebagai hafazan registration/flash. Elok diulangi semula peringatan di atas iaitu kita tidak perlu menunggu semua hafazan dilaksanakan dengan sempurna untuk beralih ke rubu’-rubu’ di hadapan. Di sinilah kita perlu benar-benar menghayati bahawa lupa dalah proses semula jadi yang perlu dibiarkan untuk ‘takes its own course’.
(7) Pada peringkat ini juga, cuba jangan memasuki segmen baru sehingga kesemua 40 rubu’ dalam segmen ini mencapai tahap hafazan sementara. Sekiranya diteruskan juga, dibimbangi memberikan tekanan kepada mental kita kerana terlalu banyak ‘tugasan’ yang perlu dibuat (pengecualian akan dibincangkan dalam topik lain akan datang).
(8) Sekiranya kita pernah menghafaz mana-mana surah atau rubu’ dalam segmen ini, terus catatkan dalam hafazan flash tanpa menghafaznya semula.
(9) Cuba jangan mengisytiharkan mana-mana rubu’ telah mencapai hafazan tahap 3 (ingatan jangka panjang) sehingga kita yakin yang kita boleh membaca semula tanpa perlu membuat semakan. Ini bermakna hafazan tahap 3 mungkin hanya boleh dicapai selepas 2-3 tahun (tetapi mungkin juga mencecah tempoh 10 tahun) selepas pencapaian hafazan tahap 1. Perlu juga diingati, kita tidak perlu ‘terburu-buru’ mengisyiharkan pencapaian tahap 3 kerana selepas beberapa tahun, tanpa kita sedari ingatan kita mampu ‘mencari sendiri’ hafazan-hafazan lama walaupun tanpa membuat semakan. Inilah antara keistimewaan al-Quran (cuba amati dengan teliti ayat terakhir daripada surah al-Ankabut). Pengalaman sedemikian ada dinyatakan oleh Saidina Ali sebagai ‘seolah-olah mashaf terbuka dihadapannya’.
(10) Jangan terlalu bimbang sekiranya masalah kelupaan berterusan. Fenomena ini berlaku kerana otak kita mengambil masa yang agak panjang (seperti yang dinyatakan di atas, mungkin mencecah 10 tahun) bagi menyesuaikan dan menyelaraskan semua rekod. Juga perlu diingat, setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza-beza antara surah dengan surah yang lain. Selain daripada itu, seperti juga yang dibincangkan di bawah topik ‘Surah Generik dan Surah Unik’, tempoh masa penghafazan yang diambil antara satu surah dengan surah yang lain dijangkakan tidak akan sekata. Oleh itu, maha suci Allah yang segala urusan penghafazan berada di tangan-Nya. Maka, ada surah yang memerlukan cuma beberapa hari, malah ada yang beberapa minit sahaja. Ada pula yang memakan masa berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun. Oleh yang demikian juga, sekiranya kita telah berusaha tetapi masih juga tidak mencapai matlamat penghafazan dalam tempoh yang disasarkan, jangan dikesalkan sangat. Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini, membaca al-Quran untuk tujuan menghafaz, dengan cara yang betul dan dengan niat yang ikhlas akan menjadi amal saleh yang diberi pahala di sisi Allah. Perbanyakkan doa agar kiranya gagal pada penilaian dunia semoga Allah mencatatkan sebagai huffaz di sisi-Nya.
(11) Sekiranya keadaan memerlukan, mana-mana rubu’ boleh dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Keadaan ini boleh berlaku terutamanya pada juzuk-juzuk 28, 29 dan 30

Jumaat, 17 September 2010

TIPS MENGHAFAZ AL-QURAN SIRI 8



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 8

Hormati Tradisi Para Huffaz 1


Allah (SWT) yang memiliki sifat maha berkuasa, boleh terus bercakap dengan Rasulullah (S.A.W) jika dikehendaki-Nya, sebagaimana disampaikan perintah-perintah-Nya kepada Nabi Musa (AS). Dia juga boleh memberikan wahyu dalam mimpi seperti yang berlaku pada Nabi Ibrahim (AS). Allah juga tiada masalah untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dengan diangkat baginda ke langit seperti yang berlaku pada Baginda (SAW) pada malam ‘Mi’raj’. Malahan Allah (SWT) boleh menurunkan al-Quran sekali gus kepada Nabi (SAW), lalu dituliskan al-Quran itu dalam hati Baginda (SAW) sehingga kekal selama-lamanya. Jika Dia berkata ‘jadi!’, maka, jadilah sesuatu itu. Maha berkuasa Allah. Oleh itu apa perlunya perantara seperti Jibril?

Apa Peranan Jibril? Jawapannya, ‘banyak’.

Dalam sirah dan juga berdasarkan dalil ayat-ayat al-Quran, umum mengetahui bahawa al-Quran diturunkan Allah melalui perantaraan Jibril. Tiada bukti yang sahih yang dapat menunjukkan bahawa ada ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW) tanpa ditalaqqykan oleh malaikat. Melalui sirah juga, jelas terbukti bahawa peranan Jibril bukan sekadar menyampaikan wahyu tetapi juga menyemak bacaan Rasulullah (SAW). Amalan menyemak bacaan Rasulullah (SAW) berkekalan sehingga tahun kewafatan Baginda (SAW). Mafhumnya, dalam konteks penghafazan al-Quran, Jibril memainkan sekurang-kurangnya:

(a) penyampai;
(b) mentor; dan
(c) rakan.

Sebagai mengambil iktibar daripada hubungan Rasulullah (SAW) tersebut, para ulama’ sejak zaman para Sahabat lagi telah membudayakan suatu tradisi penghafazan yang perlu dihormati. Antaranya:

(a) tidak menghafaz ayat-ayat atau surah-surah tanpa disahkan betul oleh seseorang yang lebih baik bacaannya;
(b) setiap hafazan mesti disahkan betul oleh orang yang berkebolehan;
(c) hafazan berjalan bawah penyeliaan orang lain;
(d) tidak menganggap bahagian-bahagian yang telah dihafaz akan kekal selama-lamanya, malahan sentiasa membuat semakan hafazan dari semasa ke semasa;
(e) walaupun telah ‘khatam hafazan’, proses penghafazan masih berterusan dan proses penyemakan bacaan juga berjalan sepanjang hayat.

Sekian. Wallahu 'alam.

Khamis, 16 September 2010

TIPS MENGHAFAZ AL-QURAN SIRI 7



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 7

Fahami Lay Out al-Quran

1 – Kenali Surah Generic dan Surah Unik

Di dalam surah Ali-‘Imran Allah menyebutkan ayat-ayat al-Quran itu terbahagi kepada dua iaitu ayat-ayat muhkamaat (jelas) dan ayat-ayat mutasyabihaat (samar). Terdapat beberapa pandangan mengenai maksud kedua-dua perkataan tersebut. Di tempat lain pula dinyatakan bahawa al-Quran itu merupakan ayat-ayat yang berulang-ulang. Kesemua sifat tersebut perlu dimanfaatkan dalam proses penghafazan. Jika dimanfaatkan, akan mempercepatkan proses penghafazan. Jika tidak, akan berlaku kekeliruan ketika membaca surah-surah tertentu.

Ada orang berkata “saya senang saja menghafal surah itu dan ini”. Ada pula yang berkata “dulu saya dah ingat surah ini. Tapi, bila dah hafal surah itu, surah ini pulak lupa. Bagaimana mengatasinya”. Yang lainnya pula bertanya “Surah mana yang terbaik untuk memulakan hafazan?”. Ada si fulan berkata “saya tidak pula menghadapi masalah yang besar untuk menghafaz dalam tempoh dua tahun… ”. Fenomena dan persoalan-persoalan di atas tidak mudah dijawab. Namun begitu, jika kita memahami bagaimana lay-out al-Quran mungkin sebahagian persoalan-persoalan tersebut boleh dijelaskan.

Lay-out al-Quran perlu dilihat daripada beberapa dimensi. Satu daripadanya, ia itu mengenai ikatan antara satu surah dengan surah yang lain, dibincangkan di sini. Yang lain-lainnya akan dikupas dalam siri-siri yang akan datang. Tanpa memahami ikatan antara surah-surah atau hubungan antara ayat dengan ayat, seseorang akan menghadapi masalah terutamanya dalam tiga keadaan:

(a) ketika memilih surah mana untuk dihafaz;
(b) mengingat semula hafazan yang telah dibuat; dan
(c) berlaku kekeliruan ketika membaca semula hafazan yang dibuat.
Di dalam surah Aali-‘Imraan Allah menyebutkan ayat-ayat al-Quraan itu terbahagi kepada dua iaitu ayat-ayat muhkamaat (jelas) dan ayat-ayat mutasyabihaat (samar). Terdapat beberapa pandangan mengenai maksud kedua-dua perkataan tersebut. Di tempat lain pula dinyatakan bahawa al-Quran itu merupakan ayat-ayat yang berulang-ulang. Kesemua sifat tersebut perlu dimanfaatkan dalam proses penghafazan. Jika dimanfaatkan, akan mempercepatkan proses penghafazan. Jika tidak, akan berlaku kekeliruan ketika membaca surah-surah tertentu.

Untuk memudahkan pengaplikasian dan meringkaskan perbincangan, ayat-ayat dan surah-surah boleh dibahagikan kepada:
(a) ayat-ayat dan surah-surah generic. Dalam kategori ini ayat-ayatnya mempunyai vocabulari, kandungan dan susunan yang hampir antara satu dengan yang lain;

(b) ayat-ayat dan surah-surah unik. Dalam kategori ini ayat-ayat atau surah-surahnya tidak ada persamaan di tempat-tempat lain. Mengenai surah-surah yang generic ramai penghafaz melalui empat peringkat pengahafazan iaitu:

(i) bermula dengan hanya sedikit kesukaran kerana vocabulari dan kandungannya biasa didengar;
(ii) rasa ‘macam senang’ bila menemui surah lain yang seumpamanya;
(iii) kemudin, mula menghadapi kekeliruan dan bercampur-aduk (mix-up) ketika membaca beberapa surah tertentu; dan
(iv) terpaksa menghafaz semula setiap surah berkenaan bagi menyelesaikan kekeliruan.

Namun surah-surah generic, jika kita dapat mengenalinya dan berhati-hati sejak dari awal lagi, penghafazan mempunyai kelebihan. Iaitu, dalam tempoh yang pendek kita dapat menghafaz banyak surah. Langkah pertama untuk mengurangkan kekeliruan ialah menjadikan yang terawal dari kalangannya sebagai ‘base’ dan perlu dihafaz sekuat-kuatnya dengan tanpa ragu pada mana-mana bahagiannya. Jika berlaku kekeliruan di masa akan datang, pastikan hafazan surah yang menjadi ‘base’ tersebut sentiasa tidak terganggu. Dalam tempoh yang tidak panjang, surah yang menjadi ‘base’ akan dapat membantu meyelesaikan kekeliruan pada surah-surah berikutnya yang di dalam keluarga yang sama.

Mengenai surah-surah unik, sejak dari awal hingga akhir prosesnya hanya satu, susah sepanjang jalan sebab sesetengah vocabulari atau kandungannya tidak biasa digunakan atau tidak pernah didengar, termasuk oleh orang Arab sendiri. Contonya surah as-Syura, Yusuf, az-Zukhruf dan al-Kahf. Mungkin juga ramai yang menyedari bahawa kebanyakan surah-surah pendek di dalam juzuk 29 dan 30 adalah tiada pengulangan di tempat-tempat lain. Sesetengahnya dari sudut kandungan, yang lainya dari segi vocabularinya. Sebahagian daripada surah Yaasin adalah juga dari kumpulan ini.

Oleh itu, sebelum memilih atau mula menghafaz mana-mana surah, klasifikasi ini perlu diambil perhatian. Jika tidak selama-lamanya akan berlaku kecelaruan. Di bawah ini dipaparkan sebahagian senarai sifat beberapa surah sebagai panduan.

1. Contoh surah yang mengandungi amat banyak ayat-ayat generic:
(a) surah an-Nisaa’ (sebab itu ramai yang ‘terkandas’ di sini)
(b) surah ar-Rahmaan;
(c) surah al-Mursalaat;

2. Contoh surah-surah generic yang boleh, samada membantu atau mengelirukan antara satu dengan yang lain, adalah seperti di bawah (senarai ini hanya mengandungi surah-surah yang banyak mengenai kisah-kisah nabi. Senarai daripada ketegori lain - seperti surah-surah hukum, mengenai Bani Israel, Adam & Iblis, Isa & Maryam dan tentang hari Kiamat akan disediakan kemudian):

Kumpulan 1 :
(a) al-A’raaf;
(b) Yunus;
(c) al-Hijr;
(d) al-Ankabuut;
(e) as-Syu’araa’

Surah-surah ini mengandungi kisah-kisah beberapa orang terutamanya Nuh, Hud, Saleh, Lut, Syuaib dan Musa. Pengkesahan dimulakan dalam surah al-A’raaf. Kemudian, kisahnya diulangi dalam surah-surah lain sekeluarganya dalam susunan dan vocabulari yang hampir menyerupai antara satu sama yang lain.

Kumpulan 2 :
(a) al-Baqarah;
(b) al-A’raaf;
(c) Ibrahim;
(d) Taaha;
(e) al-Anbiyaa’
(f) as-Syu’araa’
(g) an-Naml;
(h) al-Qasas;
(i) Ghaafir

Surah-surah ini mengandungi kisah mengenai Nabi Musa, Fir’aun dan Bani Israel secara detail. Walaupun temanya sama, dalam banyak keadaan, vocabularinya bertukar-tukar. Risiko kekeliruan amat tinggi pada surah-surah ini - bukan sahaja kepada pelajar-pelajar, juga biasa berlaku ke atas imam-imam berpengalaman.

Kumpulan 3:
(a) al-Anbiyaa’
(b) as-Saffaat;
(c) Sad;
(d) Maryam

Surah-surah ini mengandugi kisah berbagai nabi yang tidak disentuh secara detail di dalam al-Quran, contohnya Ilyaas, Ilyasaa’, Yahya dan Dzulkifli. Sekiranya surah-surah dari Kumpulan 1 di atas boleh dikuasai dengan baik, kekeliruan dalam Kumpulan 3 ini boleh dikurangkan.

Wassalam.

Rabu, 1 September 2010

Tips Menghafaz al-Quran Siri 6



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 6

Disiplin dan ‘Peace-in-mind’

Kita biasa mendengar berita ada penghafaz al-Quraan yang cemerlang dalam berbagai-bagai bidang. Sekadar contoh, pada tahun lalu seorang pelajar Libya yang menghafaz al-Quraan dalam tiga qiraat berjaya mendapat ijazah kelas pertama dalam off-shore engineering di UK. Sebelum itu pada tahun 2004, seorang pelajar hafiz dari aliran sastera yang diterima belajar di salah sebuah kolej swasta terkemuka di Petaling Jaya mendapat semua A dalam A-level jurusan sains. Beliau sekarang sedang meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan. Banyak lagi contoh lain yang tidak diuar-uarkan.Tentunya kita tertanya-tanya, bagaimanakah mereka melakukannya?

Antara jawapannya ialah disiplin dan ‘peace-in-mind’. Perbincangan dalam tips #2 disebutkan bahawa penghafazan memadai jika diamalkan dalam tempoh sependek kira-kira 20 minit sehari. Namun begitu, bagaimana kita boleh memperuntukkan 20 minit sehari jika fikiran kita diserabutkan dengan berbagai-bagai urusan harian yang tak berkesudahan, mengejar date-line atau kekurangan masa untuk mengulang kaji pelajaran?. Namun, bagaimana pula orang yang menghafaz tiga qiraat boleh memperuntukkan masa untuk belajar malah mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang kejuruteraan?.
Bagi membolehkan kita duduk 20 minit dalam ‘peace-in-mind’, fully concentrated dan undisturbed, kita perlu memastikan segala urusan harian dalam keadaan ‘under control’. Selain daripada keperluan memperuntukkan masa untuk menghafaz, bagi membolehkan hafazan kita berkekalan, ada beberapa rutin yang yang perlu diamalkan (akan dibincangkan kemudian). Amalan-amalan tersebut, walaupun hanya sedikit tetapi perlu diamalkan secara konsisten. Untuk memperoleh ‘peace-in-mind’, eloklah kita menguruskan rutin harian dan kerjaya kita secara teratur mengikut jadual yang telah ditetapkan, dilakukan sesempurnanya dan pada kualiti yang cemerlang. Untuk itu juga, cuba fahami dengan secara kritikal dan mendalam mesej yang disampaikan oleh ayat-ayat 34-36 surah al-Israa’ terutamanya dari dimensi pengurusan diri, perniagaan dan profesional.Pendek kata, orang yang berjaya menghafaz al-Quraan adalah yang amat tinggi disiplinnya dalam semua aspek kehidupan. Kata setengah orang, “charity begins at home…”

Isnin, 23 Ogos 2010

Tips Menghafaz al-Quran Siri 5 :



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 5

Mind the Minutes

Dalam banyak kes, masalah mengingat ayat-ayat al-Quraan berpunca daripada masalah-masalah kecil.
Apabila kita memegang mashaf atau membaca al-Quraan, mungkin kerana setiap hari dan terbiasa melihat mashaf, kadang-kadang terlupa juga yang kita sedang berhadapan dengan Kalam Allah. Lantaran, terlupa kita menghormati Kalam yang Agong itu yang tiada lagi yang lebih mulia daripadanya di atas muka bumi ini. Terlupa juga kita menghayati adab-adab ketika ‘mengungkap’ Kalam Allah yang mulia itu.
Yang dimaksudkan adab-adab di sini bukannya mesti mengucup mashaf, duduk menghadap kiblat, kena pakai kepiah atau sebagainya yang asas amalan-amalan tersebut boleh dipersoalkan kesahihannya. Bukan juga bermaksud untuk membincangkan mesti mengambil wudhu’ atau tidak sebelum menyentuh mashaf – isu ini sudah sahih kedudukannya. Apa yang ditekankan di sini ialah adab membaca dengan cara tarteel. Kebanyakan ulama’ bersetuju tarteel bermaksud bacaan dengan betul tajweed, makhraj, waqf, madd, qiraat yang standard, lagu yang standard (tanya mereka yang mahir dalam bidang tarannum) dan kelajuannya. Dengan lebih tepatnya, bacaan tarteel bermaksud membaca al-Quraan sebagaimana ia ditalaqqykan oleh Jibreel A.S. kepada Rasul Allah S.A.W.
Isu tarteel ini merupakan lanjutan kepada perbincangan dalam tips #4 dahulu. Dengan lain perkataan, keperluan membaca secara tarteel merupakan perintah terawal diterima oleh Rasul Allah S.A.W. Oleh itu juga merupakan persediaan awal kepada penghafaz al-Quraan. Maksudnya, apapun petua yang diajar orang tentang mengenai kaedah mudah mengingat atau tidak mudah lupa, petua nombor 1 yang ajarkan oleh Allah kepada Rasul S.A.W. ialah bacalah al-Quraan dengan betul begaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W (al-Qiaamah, 18).

Dalam soal ini satu perkara yang amat penting diingat ialah isu keutamaan (priority). Membaca atau menghafaz?. Mungkin kita mencuba bersungguh-sungguh untuk menghafaz al-Quraan atau mana-mana surah yang kita pilih sehingga kita terlupa menghormati peraturanmembaca secara tarteel. Walaupun begitu perlu sentiasa diingat bahawa yang lebih penting lagi amalan membaca al-Quraan itu sendiri. Membaca al-Quraan adalah satu ibadah khusus. Semua kita tahu bahawa pahala membaca al-Quraan adalah dikira daripada huruf-hurufnya yang dibaca dengan betul. Sekurang-kurangnya, kuasailah kaedah tajweed asas iaitu (a) makhraj yang betul dan (b) hukum yang lima.Perlu juga diingatkan kembali persoalan yang dibangkitkan dalam tips #1 iaitu hanya Allah yang menuliskan al-Quraan dalam hati kita. Jika kita berjaya menghafaz, itu bukan kerana keupayaan otak kita. Sebenarnya otak manusia, secara fizikalnya, sama seperti gunung-ganang (al-Hasyr,21), lemah dan tidak mampu menanggung al-Quraan. Al-Quraan itu Kalam Allah yang thaqeela atau amat berat (al-Muzzammil, 4).

Oleh itu, mulakan penghafazan dengan pembacaan yang betul begaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W. Jangan speeding, jangan tergopoh gapah, Allah tidak suka (al-Qiaamah, 16). Tak mengapa lambat sedikit (lihat tips sebelum ini). Ingat, para Sahabat dan para huffaz tidak menghafaz di atas lidah, hafazan mereka ‘meresap’ ke dalam darah daging, ingatan dan perasaan. Dengan mematuhi perintah membaca dengan betul, satu hari nanti insya Allah, dengan kasihan dan belasNya akan dikurniakan kedua-duanya. Pahala membacanya dan dituliskan ke dalam hati untuk selama-lamanya – iaitu untuk ditalaqqy pula kepadaNya di akhirat kelak.

Ahad, 22 Ogos 2010

Ramadan al-Mubarak 1431H


Selamat menjalani ibadah puasa dan melaksanakan segala amal ibadah di dalam bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh khusyuk, tawaduk dan pengharapan ke hadrat Allah SWT.
Semoga kita semua tergolong di kalangan orang yang bertaqwa.

Rabu, 17 Mac 2010

TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 4



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 4

Antara Masa dan Usia

Ini pula untuk menjelaskan kekeliruan antara mitos dan realiti yang selalu menjadi pertanyaan, terutamanya orang-orang dewasa yang ingin memulakan hafazan pada usia yang lewat. Ada pendapat yang mengatakan sebaik-sebaiknya penghafazan dimulakan pada umur yang muda, sebagaimana yang diamalkan di kalangan masyarakat Arab. Ada pula yang berpendapat menamatkan hafazan dalam tempoh yang singkat, contohnya antara 2 ke 3 tahun, adalah yang terbaik.

Pendapat-pendapat ini kuat mempengaruhi umat Islam di mana-mana sahaja. Kesannya, memudarkan harapan sesetengah yang tidak berkesempatan menghadiri sekolah tahfiz pada usia yang muda. Pendapat-pendapat ini juga menggambarkan ada dua faktor yang perlu difikirkan oleh kita semua, iaitu (a) masa dan (b) usia.

Untuk melihat sejauh mana tanggapan-tanggapan di atas benar-benar berasas, cuba lihat sejarah penurunan al-Quraan serta proses penghafazan yang dilalui oleh Rasul S.A.W. dan para Sahabat. R.A. Mari kita renungkan fakta-fakta di bawah ini, yang kebanyakan kita telah sedia mengetahuinya, iaitu:

(a) walaupun boleh menurunkan al-Quraan sekaligus kepada RasulAllah S.A.W (an-Nisaa’:136) dan menuliskan dalam hati dan ingatannya berkekelan dan tidak akan lupa sampai bila-bila (al-A’laa:6), Allah menurunkannya sedikit demi sedikit kerana sebab-sebab tertentu, termasuklah untuk memudahkan RasulAllah (sebagai sifatnya manusia biasa [al-Kahf:110]) mengingat kembali ayat-ayat yang telah diturunkan (al-Furqaan:32). Proses ini memakan masa hampir 23 tahun;

(b) di kalangan para sahabat RasulAllah yang ternama hanya beberapa sahaja yang berpeluang memulakan hafazan pada umur muda, antara mereka ialah Sayyidina Ali K.W., Hasan, Hussain serta Ibnu ‘Abbas dan tiga Abdullah yang lain R.A. Yang lainnya, termasuk tiga Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama memulakannya pada usia ‘terlalu dewasa’ dan dengan mengambil tempoh yang panjang;

(c) di kalangan para sahabat besar dan ternama, juga terdapat yang bermasalah ketika menghafaz. Mungkin ada yang pernah mendengar cerita Sayyidina Umar yang mengambil masa 10 tahun menghafaz surah al-Baqarah. Sebagai tanda kesyukuran beliau telah menyembelih unta;

(d) di dalam riwayat al-Tirmidzi dan al-Haakem ada peristiwa bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang pergi bersama-sama berjumpa RasulAllah S.A.W. untuk mengadu yang sejumlah besar hafazan mereka ‘hilang’. Kisah Imam al-Syafiee yang lupa sebahagian hafazannya, walaupun telah tamat pada usia tujuh tahun, juga diketahui ramai.

Fakta-fakta daripada seerah seperti di atas mengisyaratkan bahawa tiada had usia untuk memulakan proses tahfiz. Sebagaimana juga yang dilalui oleh RasulAllah S.A.W dan para sahabat R.A., tiada siginifikannya untuk menamatkan proses tahfiz dalam tempoh yang pendek. Bahkan, kisah Ibnu ‘Abbas R.A., Sayyidina Ali K.W. dan Imam al-Syafiee di atas mengisyaratkan bahawa tiada advantage yang ketara antara yang memulakannya di usia muda. Semua kita tahu bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang merupakan antara mereka yang paling ‘pakar’ dalam hal-ehwal al-Quraan. Semua orang juga tahu Imam al-Syafiee adalah seorang yang genius – dikatakan bahawa beliau boleh berbual dan berfikir serentak dalam topik-topik yang berlainan. Mereka juga menghadapi masalah. Kenapa demikian?. Akan dibincang di bawah tajuk ‘Lupa’ kelak.

Tidak boleh dinafikan sama sekali memulakan hafazan pada umur yang muda dan menamatkannya dalam tempoh yang singkat amat baik sekali. Sekiranya kita percaya peristiwa-peristiwa dalam seerah Rasul S.A.W. ‘bukanlah sesuatu yang kebetulan’ kita akan mengambilnya sebagai manhaj (cara) untuk menghafaz al-Quraan. Daripada itu juga, bolehlah disimpulkan bahawa ‘tempoh’ adalah lebih penting daripada ‘usia’. Bukan sebaliknya, sebagaimana yang menjadi mitos yang memberikan kesan negatif kepada kebanyakan umat Islam.

Teringat saya pada suatu peristiwa dalam bulan Ramadhan yang lalu seorang kiyai dari Sumatera bertanya saya tentang cara menghafaz untuk diajarkan kepada anaknya, seorang guru al-Quraan. Dia berkata dia sudah berusia lebih 60 tahun – dah tak ada harapan lagi. Selepas dijelaskan kisah dalam seerah seperti di atas, saya bertanya kepadanya “Pak Kiyai yakin tak yang Pak Kiyai boleh hidup 20 tahun lagi?”. Jawab beliau, “Insya Allah”. Esoknya Pak Kiyai tersebut datang semula dan berkata, “saya dan anak saya dah mulakan hafazan hari ini ”

TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 3



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 3

– Kenali Mashaf Anda

Mungkin soal ini bukanlah sesuatu yang penting. Walau bagaimana pun ramai penghafaz al-Quraan bersetuju bahawa mashaf yang dibaca sewaktu menghafaz mempunyai impak terutamanya ketika mengingat kembali surah-surah dihafaz.

Terdapat berbagai jenis mashaf al-Quraan yang dibaca di seluruh dunia. Namun begitu setiap satunya tidak mempunyai identiti pengenalan yang rasmi. Antaranya dikenali sebagai ‘Mashaf Madinah’, iaitu seperti yang biasa dihadiahkan oleh Raja Saudi kepada setiap orang mengerjakan haji. Edisi lain yang seumpamanya seperti yang biasanya ditulis dengan ‘Al-Quraan Al-Karim’ di kulit luarnya atau yang biasanya dicetak di Damshek dan Lubnan. Ada yang juga dikenali sebagai ‘Mashaf Gujerati’. Jenis ini biasanya ditulis dengan ‘Al-Quraan Al-Majid’ dikulit hadapannya dan banyak dicetak di India dan Pakistan. Ada yang dikenali sebagai Mashaf Saudi iaitu yang satu masa dulu diedarkan melalui Rabitah Al-Alami Islami. Tidak ketingalan juga Mashaf Malaysia. Ini hanya contoh sahaja, banyak lagi edisi lain di pasaran. Perlu juga diingat, ada sesetengah mashaf hanya sesuai untuk qiraat tertentu, contohnya satu jenis yang dicetak di Libya khusus untuk qiraat Quloon.

Semua mashaf ini adalah betul belaka dan disahkan ketepatannya oleh para hufaz, qaari’ dan muqri’. Apa yang penting diketahui ialah setiap jenis mashaf mempunyai stail cetakan yang berbeza. Antara perbezaan-perbezaan yang penting ialah pada:

(a) simbol-simbol bacaan;
(b) tempat berhenti (waqaf dan sebagainya);
(c) permulaan juzuk-juzuk
(d) pembahagian juzuk-juzuk; dan
(e) jenis khat.

Kesemua ini, walau pun tidak merupakan perkara yang penting, mempunyai kesan yang besar dalam penghafalan. Oleh itu, adalah amat baik kiranya jika satu-satu jenis telah dipilih atau dibiasakan, gunakan mashaf jenis tersebut sahaja sehingga proses penghafalan sempurna. Kekerapan bertukar mashaf boleh menyebabkan kekeliruan ketika mengingat kembali ayat-ayat yang telah dihafaz. Dan, sebaik-baiknya di sepanjang penghafalan gunakan satu mashaf sahaja yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan di dalamnya boleh dibuat catatan yang sepatutnya mengenai proses dan sejarah penghafalan yang dilalui.

Sabtu, 6 Mac 2010

TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 2



TIPS MENGHAFAL AL-QURAN SIRI 2

Pengajaran Surah al-Muzzammil

Walau apa pun pertikaian ulama’ mengenai susunan turunnya surah-surah dalam al-Quraan, terutamanya mengenai kedudukan surah Al-Muzzammil, tidak dapat dinafikan bahawa surah ini adalah antara yang terawal. Perkara yang hendak ditekankan di sini ialah ayat no.5. Ayat ini, yang bermaksud lebih kurang “Kami akan membacakan kepada engkau perkataan yang berat”. Ayat ini mengisyaratkan amalan-amalan yang perlu dibuat oleh Rasul SAW bagi mempersiapkan diri untuk dibacakan oleh Allah al-Quran di dalam hatinya. Seperkara lagi yang menarik dalam ayat ini ialah perkataan “sa nulqiy” yang membawa makna bahawa sebaik sahaja diamalkan surah ini Allah akan terus membacakan kapada Rasul SAW ayat-ayat yang berat itu.

Ringkasnya, surah ini mengajar sesiapa yang ingin menghafaz al-Quraan dengan membuat persiapan diri, sekurang-kurangnya mengamalkan:
(a) sembahyang malam, walaupun hanya sejenak;
(b) memperbanyakkan istighfar selepas sembahyang malam;
(c) membaca al-Quraan semasa atau selepas sembahyang malam; dan
(d) bersadaqah.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini bahawa proses menghafaz al-Quraan lebih merupakan kebergantungan kepada rahmat Allah. Ini bermakna kekuatan ingatan berserta amalan membaca secara berulang-ulang samada bersistematik atau tidak, tidaklah memadai. Sebab itulah surah al-Muzzammil ini diturunkan antara yang terawal. Ayuh, mulakannya di Ramadhan ini.

Tips Menghafaz al-Quran Siri 1 :


TIPS MENGHAFAL AL-QURAN
Tips Ini diambil daripada laman ALKIS | Alumni Kolej Islam
Persatuan Alumni Kolej Islam, Kelang, Malaysia
untuk dikongsi bersama...

1 : Mulakan dengan Tekad dan Doa

Sebelum memulakan, cuba hayati perkatan yang biasa kita dengar iaitu ‘Quraan itu Kalam Allah’. Secara lateral nya bermakna ia adalah milik Allah. Hanya Allah juga yang menjaga (hafz) al-Quraan. Dia jua menentukan di dalam dada siapa hendak disimpan. Dia jua menentukan ke atas lidah siapa hendak dibaca (talaqqy) al-Quraan. Oleh itu sebelum memulakan langkah ada dua perkara yang tiada pilihan melainkan dibuat jua.

Pertama, berniat dan bertekad hendak menghafal. Untuk memahami keperluan ini, cuba lihat dalam masyarakat kita. Rata-rata kebanyakan kita membaca surah Yaasin setiap malam Jumaat. Tetapi cuba lihat oleh kerana tiada keinginan untuk menghafal, selepas berpuluh-puluh tahun, hatta sampai ke akhir hayat tidak ramai yang boleh ingat dengan betul. Dan, cuba tanya di kalangan kita siapa yang boleh hafal satu ayat al-Quraan mengenai perintah berlaku adil, berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara mara yang dibaca oleh khatib setiap akhir khutbah Jumaat. Inilah yang dikatakan power tekad - boleh membezakan pencapaian hidup kita.

Kedua, berdoa dan jangan putus-putus berdoa. Hatta sampai ke akhir hayat, teruslah meminta. Tunjukkan yang kita ini amat faqir, terlalu hina dan meminta sedekah daripadaNya. Al-Quraan itu adalah dimiliki Allah dan merupakan sebesar-besar rahmatNya ke atas manusia. Masakan Dia hendak memberi sesuatu hartaNya yang terbaik kepada seseorang yang tak bersungguh-sungguh.

Antara masalah terbesar dalam memulan menghafaz al-Quraan ialah persoalan bagaimana hendak memulakannya. Sebenarnya terdapat beberapa metos dan fakta dalam penghafazan al-Quraan. Antara metosnya, menghafaz memakan masa yang panjang. Fakta sebenarnya ialah ia hanya memerlukan masa yang singkat tetapi konsisten.

Antara masalah terbesar dalam memulan menghafaz al-Quraan ialah persoalan bagaimana hendak memulakannya. Sesetengah pula tergambar bahawa proses menghafaz al-Quraan memerlukan banyak masa sedangkan setiap kita sibuk dengan berbagai urusan, sama ada pelajaran, profesion atau rumah tangga. Sebenarnya terdapat beberapa metos dan fakta dalam penghafazan al-Quraan. Antara metosnya, menghafaz memakan masa yang panjang. Fakta sebenarnya ialah ia hanya memerlukan masa yang singkat tetapi konsisten. Sekiranya kita boleh memperuntukkan 20 minit sehari secara konsisten, tidak kira waktu mana, kita boleh menghafaz. Mungkin sebelum memulakan tugas harian, waktu rehat tengah hari, selepas maghrib, sambil menunggu bas, dalam keretapi atau bila-bila ada kelapangan asalkan tetap. Hanya yang diperlukan ialah sabar membaca bahagian yang sama berulang-ulang hingga Allah mengizinkannya disimpan dalam hati kita.

Persoalan kedua yang perlu dijawab ialah “bila nak memulakannya?…”. Al-Quraan diturunkan kepada RasuluLlah (S.A.W) di bulan Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan al-Quraan. Oleh kerana Rasul (S.A.W) memulakannya di situ, turuti jejaknya. Hanya Allah yang mengetahui betapa eratnya hubungan antara Ramadhan dengan al-Quraan. Seperti yang umum mengetahui bahawa di setiap bulan Ramadhanlah RasululLah (S.A.W) menyemak bacaan dan hafazannya bersama Jibrail (A.S). Cara yang paling mudah dan praktikal untuk mengambil manfaat daripada bulan Ramadhan serta memulakan tahfiz di bulan tersebut ialah pertama dengan mengingati kembali surah-surah yang pernah dihafaz di masa-masa dahulu. Kedua, pada akhir Ramadhan menyediakan rekod inventori surah-surah tersebut.

Oleh kerana ia adalah bulan al-Quraan, Ramadhan merupakan bulan terpenting bagi seseorang penghafaz al-Quraan. Sebagai mana amalan Rasul (S.A.W.), di bulan Ramadhanlah seseorang penghafaz memeriksa dan menutup akaun tahunan (annual account check). Mengenai proses penutupan akaun tahunan di bulan Ramadhan, seseorang penghafaz khususnya dan setiap mukmin umumnya, patut mengamalkan dua perkara berikut. Pertama, menjelang Ramadhan yang akan datang, memperbaiki bacaan dan hafazan yang telah disemak dan dikenal pasti telah rosak. Kedua, menjelang Ramadhan akan datang juga, menambah inventori hafazan yang telah dibuat sebelum Ramadhan yang telah lalu. Ingat juga, seseorang mukmin yang baik ialah yang amalannya semakin baik dan bertambah di antara Ramadhan yang telah lalu dengan Ramadhan yang akan datang. Jadikanlah al-Quraan antara amalan yang bertambah di antara setiap Ramadhan.

DOA PENGHALAU GANGGUAN SIHIR & HANTU SYAITAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
هذَا كِتَابٌ مِنْ مُحَمَّدٍ رَسُوْلِ رَبِّ العَالمَِيِْنَْ َ.إِلَى مَنْ طَرَقَ الْبَابَ مِنَ اْلعَمَّارِ وَالزَُّّوَّارِ. أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ لَنَا وَلَكُمْ فِى الْحَقِّ مَنَعَةٌ, فَإِنْ تَكُ عَاشِقًا مُوْلِعًا أَوْ فَا جِرًا مُقْتَحِمًا أَوْزَاعِمًا حَقًّا اَوْ مُبْطِلاً. هَذَا كِتاَبَُ اللهِ يَنْطِقُ عَلَيْناَ وَعَليَكْمُ ْ بِالْحَقِّ إِناَّ كُنَّا نَسْتَنْسِخُ مَا كنُْتُمْ تَعْلَمُوْنَ وَرُسُلُنَا يَكْتُبُوْنَ مَا تَكْتُمُوْنَ, أُتْرُكُوْا صَاحِبَ كِتاَبِى هَذَا وَانْطَلِقُوْا إِلَى عُبْدَةِ الأَصْنَامِ وَإِلَى مَنْ يَزْعَمُ أَنَّ مَعَ اللهِ إِلَهًا أخَرَ لاَ إِلَهَ ِإلاَّ هُوَ, كُلُّ شَئٍْ هَالِكٌ إِلاَّ وَجْهَهُ لَهُ الحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُوْنَ وتُغْلَبُوْنَ. حم لاَ تَنْصُِرُوْنَ حم عسق, تَفَرَّقْ أَعْدَاءَاللهِ وَبَلَغَتْ حُجَّةُ اللهِ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ فَسَيَكْفِيْكَهُمُ اللهُ وَهُوَالسَّمِيْعُ اْلعَلِيْمُ صَدَقَ اللهُ اْلعَظِيْمُ

Maksudnya:
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Kitab ini (Tulisan ini) daripada Muhammad utusan Tuhan Semesta Alam. Kepada sesiapa yang mengetuk pintu di kalangan al-’Amar dan al-Zuwwar (gelaran iblis dan syaitan).
Adapun selepas itu! Sesungguhnya antara kami dan kamu ada halangan dalam kebenaran, sekiranya kamu suka memperdaya, jahat, menipu atau berprasangka tentang kebenaran dan kebatilan, inilah Kitab Allah yang menjelaskan kepada kami dan kamu dengan penuh kebenaran. Sesungguhnya kami telah hapuskan segala apa yang kamu tahu dan utusan kami sentiasa mencatatkan apa yang kamu sembunyikan. Tinggallah / jauhilah pembawa Kitabku ini, nyahlah kamu kepada penyembah-penyembah berhala dan kepada mereka yang menyangka bahawa beserta Allah ada tuhan lain. Tiada Tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu itu musuh kecuali Zat-Nya, bagi-Nya segala keputusan dan kepada-Nya dikembalikan dan dikuasai. Haa Mim, tiada sesiapa yang boleh memberi pertolongan. Haa Mim, Ain Sin Qaf, berpecahlah kamu wahai musuh-musuh Allah, telah tiba hujah-hujah Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah, maka cukuplah bagi mereka Allah, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Benarlah Allah yang Maha Besar.

Peristiwa Tulisan Agung

Diriwayatkan oleh Baihaqi, seorang sahabat Nabi s.a.w. bernama Abu Dajanah yang berkata, “Aku telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata, Wahai Rasulullah s.a.w., aku sedang berbaring tiba-tiba aku mendengar desir suara seperti bunyi kisaran gandum dan berdengung seperti lebah. Dan terlihat pancaran kilat lalu mengangkat kepala kerana terkejut dan takut. Tiba-tiba aku nampak bayangan hitam berdiri tegak memanjang memenuhi ruang rumahku. Lalu aku mendekati bayangan itu dan terasa kulitnya seperti bulu landak. Bayang itu menyemburkan cahaya seperti semburan bunga api ke arah mukaku sehingga aku menyangka badan dan rumahku terbakar. Lalu Rasulullah s.a.w. menyatakan, “itu adalah syaitan yang mahu mengacau atau membuat keburukan di rumahmu ya Abu Dajanah. Lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh Saidina Ali b. Abi Talib, tulislah ini, maka Saidina Ali pun menulisnya seperti di atas. Aku membawa tulisan tersebut balik ke rumah dan aku letakkan di kepala dan tidur. Tidak lama aku mendengar jeritan dan tangisan berkata, “Wahai Abu Dajanah, engkau telah membakar kami dengan perkataan/tulisan di atas. Demi kebenaran sahabatmu, tolonglah buangkan tulisan tersebut, aku tidak akan mengacau engkau lagi. Tolonglah!. Abu Dajanah menjawab, “aku tidak akan membuangnya sehingga Rasulullah s.a.w. menyuruh aku membuangnya”. Abu Dajanah menyambung ceritanya, “sepanjang malam tersebut aku mendengar jeritan dan suara mengerang kesakitan sehinggalah menjelang Subuh. Ketika aku bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w., aku telah menceritakan kepada Baginda hal tersebut. “Demi Allah yang telah mengutusku sebagai Rasul, sesungguhnya mereka (syaitan-syaitan) itu telah merasakan kesakitan dan akan menerima azab siksa hingga ke hari Kiamat.

Keistimewaan Tulisan Ini:
1. Menghalang gangguan makhluk halus.
2. Menghalang ilmu hitam dan sihir.
3. Menundukkan kezaliman orang yang zalim.
4. Memecahbelahkan kesatuan musuh.

Isnin, 18 Januari 2010

Sesi Kelas Tahun Baru 2010

Alhamdulillah dengan izin-Nya Tahun Baru ini telah memberi pemulaan yang baik kepada Kelas Tahfiz dan Fardu Ain Taman Jaya 4.
Sesi Kelas Tahfiz dan Fardu Ain telah bermula semula pada tahun ini .Sesi pendaftaran untuk kemasukan pelajar baru dan lama telah diadakan pada Hari Ahad 10.01.2010 Jam 9.00 pagi.
Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan di mana sehingga hari ini setelah seminggu kelas bermula sudah 72 orang pelajar telah mendaftar untuk kelas Tahun 2010.Oleh kerana itu pihak jawatakuasa ktadfa telah bersetuju untuk membuka 4 kelas dan menambah seorang lagi tenaga pengajar.Sambutan dari penduduk setempat bukan sahaja dari Taman Jaya 4 tetapi juga dari luar amat menggalakkan menyebabkan jawatakuasa berhasrat ingin membina satu blok tambahan bagi menampung jumlah pelajar yang akan datang.Sekiranya ada hamba Allah hendak menderma pihak jawatakuan ktadfa amat mengalu-alukan samada perseorangan ataupun badan swasta.Semoga Allah merahmati mereka yang menderma .

Doa Tetap Bertaqwa & Mendapat Rezeki

Doa Tetap Bertaqwa & Mendapat Rezeki

Doa Menuntut Ilmu & Diberikan Hikmah

Doa Menuntut Ilmu & Diberikan Hikmah

Pelajar Kelas Tahfiz 2007

Pelajar Kelas Tahfiz 2007